solat perlukan focus anda~ iatu khusyuk~
Khusyuk pada pengertian bahasa bermaksud tunduk dan merendah diri.Orang yang khusyuk ialah orang yang tunduk dan merendah diri. Adapun pengertian khusyuk di dalam solat, di bawah ini kita kemukakan beberapa pandangan ulamak tentang makna khusyuk di dalam solat;
1. Berkata Saidina ‘Ali r.a.;
“Khusyuk itu ialah khusyuk hati”. Menurut riwayat lain, beliau berkata; “Khusyuk itu ialah tidak berpaling ke kanan atau ke kiri”.
2. Menurut Imam al-Qurthubi;
“Khusyuk ialah suatu keadaan di dalam jiwa di mana dia mewujudkan keadaan tetap (tenang) dan merendah diri segala anggota”.
3. Menurut Imam Zamakhsyari;
“Khusuk dalam solat ialah hati berkeadaan takut dan mata selalu tunduk (ke tempat sujud)”. (al-Kasysyaf)
as- Solah also need our concentration!
4. Berkata Imam al-Jurjani;
“Orang yang khusyuk ialah yang merendah diri kepada Allah dengan hati dan segala anggotanya”. (at-Ta’rifat)
5. Menurut Imam al-Kalbi;
“Khusyuk itu ialah suatu keadaan di hati di mana dia mempunyai sifat takut, muraqabah (selalu memperhati kan Allah) dan merendah diri kepada kebesaran Allah, kemudian dia mempengaruhi segala anggota yang membawa berkeadaan tetap, seronok melakukan solat, tidak berpaling-paling, menangis dan berdoa”.
Dari penjelasan para ulamak di atas, dapat kita simpulkan bahawa khusyuk di dalam solat hendaklah menggabungkan dua bentuk khusyuk;
hati yang bijak mampu ingat DIA sahaja ketika menunaikan solat!
1. Khusyuk batin; iaitu khusyuk hati dengan menghadirkan di dalam hati perasaan takut kepada Allah, rendah diri serta mengharapkan rahmatNya.
2. Khusyuk lahir; iaitu khusyuk kepala dengan cara menundukkannya, khusyuk mata dengan cara tidak menoleh atau berpaling-paling, khusyuk tangan ialah dengan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri dengan penuh hormat seperti perlakuan seorang hamba dan khusyuk dua kaki ialah dengan tegaknya berpijak dan berkeadaan tetap, tidak bergerak. Khusyuk lahir ini terbit dari khusyuk batin atau hati tadi.
Khusyuk penting?
Khusyuk penting kerana pahala solat bergantung kepadanya.
Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua”
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978).
Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda;
“Barangkali seorang yang bangun mengerjakan solat di malam hari, habuannya dari solat malamnya hanyalah berjaga malam (yakni tidak ada pahala). Dan barangkali seorang yang berpuasa, habuannya dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga”.
(Riwayat at-Tabrani, Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Berkata Hafidz al-‘Iraqi; ia adalah hasan. Menurut Imam al-Haitami; perawi-perawinya adalah siqah. Lihat; al-Jami’ as-Saghier dan Faidhul-Qadier, hadis no. 4405).
Contoh manusia yang khusyuk ialah para sahabat. Abdullah bin ‘Umar r.a. –salah seorang sahabat Nabi yang masyhur- pernah menceritakan tentang solat para sahabat dengan katanya;
“Para sahabat Nabi s.a.w. apabila mereka mengerjakan solat, mereka memberi perhatian bersungguh-sungguh kepada solat mereka, mereka menundukkan penglihatan mereka ke tempat-tempat sujud mereka dan mereka menyedari sesungguhnya Allah sedang berhadap kepada mereka, maka tidaklah mereka berpaling ke kanan dan ke kiri”.
untuk khusyuk pon ada tips nye!
Rahsia-rahsia untuk mendapat khusyuk di dalam solat mengikut Imam al-Ghazali
Menurut Imam al-Ghazali, untuk menghadirkan khusyuk di dalam solat, ada enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat;
Pertama; Hudhur al-Qlabi (حضور القلب); iaitu menghadirkan hati kita ketika menunaikan solat iaitu dengan membuang dari hati segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat kita.
Kedua; at-Tafahhum (التفهم); iaitu berusaha memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat sama ada perbuatan atau yang dibaca/diucapkan.
Ketiga; at-Ta’dziem (التعظيم); iaitu merasai kebesaran Allah iaitu dengan merasai diri terlalu kerdil di hadapan Allah.
Keempat; al-Haibah (الهيبة); iaitu merasa gerun terhadap keagungan Allah dan siksaanNya.
Kelima; ar-Raja’ (الرجاء); iaitu sentiasa menaruh harapan besar kepada Allah mudah-mudahan solat yang dikerjakan akan diterima dan diganjari oleh Allah.
Keenam; al-Haya’ (الحياء); iaitu merasa malu terhadap Allah di atas segala kekurangan dan kecacatan yang terdapat di dalam solat.
dimanakah tergolongnya kita? lauk tanpa nasi tiada makna. solat tanpa khusyuk apakah maknanya? tepuk dada tanyalah ustaz!
walahuallam..
writer: Mohd Noor Awang
edited: anna_naquiah
No comments:
Post a Comment